Thursday, April 25, 2013

Hukum Penggunaan Peralatan Dan Perhiasan Berasaskan Abu Tulang Haiwan (Bone China)



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-99 yang bersidang pada 4-6 Mei 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Penggunaan Peralatan Dan Perhiasan Berasaskan Abu Tulang Haiwan (Bone China). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa berdasarkan mazhab Shafie, sifat kenajisan babi masih kekal dalam produk bone china dan sifat najis tersebut tidak akan hilang kerana proses istihalah dianggap tidak berlaku.
Muzakarah juga berpandangan bahawa sekiranya penggunaan produk bone china yang berasaskan abu tulang haiwan yang tidak halal mengikut Syarak ini diharuskan, maka ia akan membuka ruang kepada penggunaan produk-produk bersumberkan haiwan yang tidak halal mengikut syarak berleluasa.
Muzakarah juga berpandangan bahawa peralatan atau perhiasan bone china tidak mencapai tahap keperluan (darurah) kepada masyarakat untuk memiliki dan menggunakannya.
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan bahan peralatan atau perhiasan yang dihasilkan daripada abu tulang haiwan (bone china) yang tidak halal mengikut syarak, termasuk haiwan yang halal dimakan tetapi tidak disembelih mengikut hukum syarak adalah tidak diharuskan.
Walaubagaimanapun, penggunaan peralatan dan perhiasan berasaskan abu tulang haiwan (bone china) yang halal dimakan dan disembelih mengikut hukum syarak adalah diharuskan

Sumber : e-fatwa

No comments:

Post a Comment