Thursday, May 15, 2014

Tahniah .. Menteri Besar Baru


KUALA TERENGGANU 14 Mei - Meskipun sejurus selepas upacara mengangkat sumpah selaku Menteri Besar Terengganu malam kelmarin tercetus krisis politik, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman melangkah tenang untuk memulakan tugasnya secara rasmi hari ini.

Beliau yang tiba kira-kira pukul 7.40 pagi di Wisma Darul Iman, kemudiannya mengetip kad perakam waktu menandakan hari pertama beliau tugas dan disusuli bacaan doa oleh Pegawai Agama di Pejabat Menteri Besar, Kamaruddin Omar.

Hadir mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir itu ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mat Razali Kassim.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ahmad Razif menyatakan beliau belum memutuskan untuk melakukan perubahan terhadap portfolio yang dipegang oleh ahli-ahli Exco seiring dengan peralihan kepimpinan yang berlaku.

Bagaimanapun, difahamkan akan berlaku rombakan kelak apabila Ahmad Razif mungkin mengambil alih portfolio yang dipegang bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebelum ini di samping pelantikan sekurang-kurangnya satu muka baharu untuk mengisi portfolionya terdahulu.

Ahmad Razif sebelum ini merupakan pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri.

Beliau juga tidak menyentuh kedudukan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib yang sebelum ini memutuskan untuk keluar parti namun kembali semula kepada UMNO.

Sumber : Utusan Malaysia

6 comments: