PETALING JAYA - Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yakin skuad hoki negara tidak terjejas dengan fokus untuk melayakkan diri ke Piala Dunia tahun depan dengan menjuarai Piala Asia, bulan ini sekalipun terasa kehilangan rakan sepasukan mendiang Chua Boon Huat, semalam.
Katanya, seluruh warga hoki negara akan sentiasa mengingati jasa mendiang yang mengumpul lebih 300 penampilan antarabangsa sejak menyarung jersi Malaysia yang meraih pingat perak Sukan Komanwel 1998, dan menyifatkannya kehilangan besar kepada sukan tanah air.
Saya sempat bertanya kepadanya (pada majlis penyampaian insentif kecemerlangan skuad hoki negara, kelmarin) mengenai tahap kecergasan dan berat badannya dan dia menjawab dengan positif dan berkata, sudah bersedia (ke Piala Asia di Ipoh mulai 24 Ogos ini).
Kita akan terasa kehilangannya. Jasanya tetap akan diingati semua namun saya harap tumpuan pasukan tidak terjejas dalam meneruskan perjuangan untuk layak ke pusingan akhir (Piala Dunia di The Hague, Belanda, tahun depan)," katanya di Pusat Perubatan Hospital Universiti Malaya di sini, semalam.
Boon Huat, 33, terbunuh dalam nahas jalan raya melibatkan kereta Proton Perdana yang dipandunya dengan sebuah lori di Kilometer 10.4, Lebuh Raya Damansara-Puchong dekat Stesen LRT Kelana Jaya, awal pagi semalam.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Boon Huat, berkata, pemain itu akan sentiasa diingati sebagai tokoh teladan terbaik buat barisan pemain muda hoki apatah lagi dia merupakan satu-satunya pemain berketurunan Cina dalam skuad negara.
Sudah pasti sesuatu kaum itu bukanlah pengukur utama kejayaan sesebuah sukan tetapi kejayaan mendiang memasuki sebuah sukan yang dikuasai kaum tertentu apatah lagi sehingga ke peringkat antarabangsa, pastinya akan turut menjadi sumber inspirasi kepada barisan pemain baharu," katanya.
Kata ketua jurulatih negara, Paul Revington, mendiang Boon Huat merupakan pemain paling berdisiplin terutama selepas dipanggil semula menyertai skuad hoki kebangsaan di bawah kendaliannya bagi menghadapi Cabaran Juara-juara 1 di Argentina, tahun lalu.
Kata jurulatih warga Afrika Selatan ini, pemain kelahiran Melaka itu turut menunjukkan prestasi yang luar biasa biarpun selepas tiga tahun tersisih daripada skuad negara malah cukup membanggakannya setiap kali melihatnya melakukan persediaan di bilik persalinan.
Revington berkata: Dia tidak lokek memberikan tunjuk ajar kepada pemain yang lebih muda dalam pasukan negara. Dia seorang yang hebat dan saya percaya dia menyayangi setiap rakan sepasukannya."
Jurulatih skuad wanita, Nasihin Nubli Ibrahim tidak menyangka mendiang yang pernah menjadi rakan sepasukannya dalam skuad negara, menunjukkan kelakuan yang agak asing kebelakangan ini dengan sering bercerita tentang kisah silamnya.
Sumber : Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment