Showing posts with label Fatwa. Show all posts
Showing posts with label Fatwa. Show all posts

Friday, May 22, 2015

Hukum Minyak Ikan Yang Diproses Tanpa Dibuang Perut Atau Najisnya



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-107 yang bersidang pada 10 - 11 Februari 2015 membincangkan Hukum Minyak Ikan Yang Diproses Tanpa Dibuang Perut Atau Najisnya. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
  1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa kandungan isi perut ikan adalah antara hukum yang tidak disebut secara jelas mengenainya sama ada dalam al-Quran ataupun Sunnah Rasulullah SAW. Ibn Hajar, Ziyad, al-Ramli dan lain-lain telah bersepakat bahawa apa-apa yang ada dalam perut ikan yang kecil sama ada darah atau najis adalah suci dan boleh dimakan serta tidak dianggap najis, bahkan al-Ramli berpendapat, hukum tersebut berlaku juga kepada ikan yang besar.
     
  2. Sekiranya ia dihukum bersih, syarak menetapkan hukum memakannya bergantung pula pada pandangan pakar perubatan yang dipercayai sama ada ia boleh memudaratkan ataupun tidak. Sekiranya mudarat maka tidak boleh dimakan kerana memberi kesan pada kesihatan, begitulah sebaliknya.
     
  3. Sehubungan itu, berdasarkan masyaqqah yang perlu dihadapi untuk memproses ikan dalam kuantiti yang banyak sehingga terlalu sukar untuk dibuang kandungan isi perut ikan satu persatu, dan realiti semasa industri komersil pemprosesan minyak ikan pada masa ini yang perlu mematuhi standard dan piawaian yang ketat bagi memastikan ianya bersih dan selamat digunakan, serta dengan mengambilkira kepentingan, manfaat dan kegunaan minyak ikan kepada kesihatan manusia, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa minyak ikan yang diproses secara komersial dalam kuantiti yang  melibatkan beribu-ribu tan ikan tanpa dibuang perut atau najisnya adalah suci dan halal dimakan.
Sumber : JAKIM Online

Friday, October 11, 2013

Hukum Shisha


Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 17 Julai 2013 telah membincangkan Hukum Shisha Menurut Pandangan Syarak. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

1.       Setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar-pakar daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan meneliti maklumat serta bukti-bukti perubatan dan saintifik terperinci yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudharatan besar yang dihadapi akibat daripada shisha terhadap kesihatan ummah, pembangunan ekonomi negara serta pembentukan generasi pada masa akan datang, maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa shisha adalah haram. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang menghisap shisha atau menyediakan perkhidmatan menghisap shisha atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan shisha.
 
2.      Muzakarah menegaskan bahawa pengharaman Shisha ini adalah berdasarkan nas-nas syarak daripada al-Quran dan Hadith serta Kaedah Fiqhiyyah bagi memastikan lima perkara asas bagi manusia yang terkandung dalam Maqasid Syari’yyah iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat dipelihara sepertimana tuntutan syarak, kerana Shisha jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan masa dan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara buruk atau keji



Thursday, April 25, 2013

Hukum Penggunaan Peralatan Dan Perhiasan Berasaskan Abu Tulang Haiwan (Bone China)



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-99 yang bersidang pada 4-6 Mei 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Penggunaan Peralatan Dan Perhiasan Berasaskan Abu Tulang Haiwan (Bone China). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa berdasarkan mazhab Shafie, sifat kenajisan babi masih kekal dalam produk bone china dan sifat najis tersebut tidak akan hilang kerana proses istihalah dianggap tidak berlaku.
Muzakarah juga berpandangan bahawa sekiranya penggunaan produk bone china yang berasaskan abu tulang haiwan yang tidak halal mengikut Syarak ini diharuskan, maka ia akan membuka ruang kepada penggunaan produk-produk bersumberkan haiwan yang tidak halal mengikut syarak berleluasa.
Muzakarah juga berpandangan bahawa peralatan atau perhiasan bone china tidak mencapai tahap keperluan (darurah) kepada masyarakat untuk memiliki dan menggunakannya.
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan bahan peralatan atau perhiasan yang dihasilkan daripada abu tulang haiwan (bone china) yang tidak halal mengikut syarak, termasuk haiwan yang halal dimakan tetapi tidak disembelih mengikut hukum syarak adalah tidak diharuskan.
Walaubagaimanapun, penggunaan peralatan dan perhiasan berasaskan abu tulang haiwan (bone china) yang halal dimakan dan disembelih mengikut hukum syarak adalah diharuskan

Sumber : e-fatwa

Friday, March 15, 2013

Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak

Photo from Mr Google


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.
  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
  3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

Tuesday, March 5, 2013

Hukum Menggunakan Kanta ICL



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-99 yang bersidang pada 4-6 Mei 2012 telah membincangkan Hukum Menggunakan Kanta ICL (Implantable Collamer Lens) Untuk Rawatan Mata. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Islam amat menekankan penjagaan kesihatan tubuh badan sebagai salah satu prinsip dalam مقاصد شريعة. Walaubagaimanapun, penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit adalah dilarang berdasarkan umumnya hadith Rasulullah s.a.w.:
عن اَبِي الدَّرْدَاء رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (إِنَّ اللهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاء، فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ)
(رواه أبو داود)
Maksudnya:
Dari Abi Darda’ RA, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara-perkara) yang haram.
Namun begitu, dalam keadaan-keadaan dharurah atau terpaksa, terdapat kelonggaran yang diberikan dalam pengharaman ini demi untuk menghilangkan kesakitan dari tubuh badan.
Dalam isu rawatan ICL ini, memandangkan penggunaannya bukan dalam keadaan dharurah dan umat Islam mempunyai banyak alternatif lain yang tidak meragukan dari aspek Syarak, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum menggunakan kanta ICL (Implantable Collamer Lens) untuk rawatan mata yang diperbuat dari bahan kolagen khinzir adalah tidak diharuskan.

Friday, January 11, 2013

Hukum Tarian Poco-poco


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 - 22 April 2011 telah membincangkan Hukum Tarian Poco-poco Dan Seumpamanya Menurut Perspektif Islam. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa berdasarkan dapatan daripada kajian awal yang dikemukakan, fakta yang menunjukkan bahawa tarian poco-poco yang dipraktikkan di Malaysia mempunyai kaitan secara langsung dengan ritual penganut agama Kristian masih belum dapat dibuktikan sepenuhnya dan kajian yang lebih terperinci perlu dilakukan bagi memastikan fakta sebenar asal usul tarian tersebut. Walaupun demikian, Muzakarah mengambil perhatian dan menghormatikeputusan pengharaman tarian poco-poco yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.
     
  2. Sehubungan itu, bagi memastikan apa jua bentuk tarian sama ada poco-poco atau sebagainya tidak bertentangan dengan ajaran Islam, Muzakarah memutuskan supaya sebarang bentuk tarian yang dilakukan hendaklah merujuk Garis Panduan Hiburan Dalam Islam yang telah diputuskan sejak tahun 2007 seperti berikut, antaranya:
a) Berpakaian menutup aurat, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada
    eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam;

b) Gerak tari yang disembahkan tidak menimbulkan fitnah;

c) Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah;

d) Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan agama bukan Islam; dan

e) Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.

Sumber : e-fatwa

Friday, January 4, 2013

Hukum Meminum Kopi Luwak (Musang)



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Meminum Kopi Luwak (Musang). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Allah SWT memerintahkan umatNya supaya memilih rezeki yang halal dan memakan makan yang baik sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah, ayat 172 yang bermaksud:

“ Wahai orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadat kepada-Nya.”
 
Muzakarah juga berpandangan bahawa kaedah fiqhiyyah menetapkan bahawa: الأصل فى الأشياء الإباحة، ما لم يقم دليل معتبر على الحرمة iaitu hukum asal mengenai sesuatu adalah harus selagimana tidak ada dalil muktabar yang mengharamkannya. Ulama’-ulama’ fiqh muktabar menjelaskan bahawa mana-mana bijian yang dimuntahkan oleh haiwan atau yang keluar bersama najis haiwan tersebut, selagi mana ianya tidak rosak dan masih kekal dalam rupa bentuknya yang asal atau jika ditanam ia mampu tumbuh, maka ia dihukumkan sebagai mutanajjis dan bukan najis.
 
Sehubungan itu, selaras dengan penegasan dan pandangan-pandangan tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa biji Kopi Luwak (musang) adalah bersifat mutanajjis dan ia harus dijadikan bahan minuman dengan syarat:
 
  1. biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam; dan
  2. biji kopi tersebut hendaklah disucikan terlebih dahulu daripada najis.
Muzakarah juga memutuskan supaya Kopi Luwak yang dihasilkan hendaklah mendapatkan sijil pengesahan halal daripada JAKIM atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam.

Sumber : E-Fatwa



Friday, December 28, 2012

Skim Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN)




Fatwa :

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Status Terkini Pematuhan Syariah Skim Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Bank Simpanan Nasional (BSN), Muzakarah mendapati dan berpuashati bahawa pelaksanaan skim Sijil Simpanan Premium (SSP) oleh BSN telah dikemaskini dengan menggunakan akad Mudharabah (perkongsian untung) dan dana SSP dilaburkan dalam instrumen dan aset yang mematuhi Syariah serta hadiah-hadiah yang disumbangkan adalah menggunakan dana dari sumber Skim Perbankan Islam (SPI) BSN.
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa skim Sijil Simpanan Premium yang telah diperbaharui pelaksanaannya oleh BSN adalah produk yang sepenuhnya mematuhi Syariah dan diharuskan oleh syarak.

Sumber : E-Fatwa


Monday, November 26, 2012

Hukum Pelaburan Emas




Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-100 yang bersidang pada 4-6 Julai 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Jual Beli Dan Pelaburan Emas Yang Dijalankan Oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
    
Pertama
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa transaksi jual beli dan pelaburan emas mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan oleh syarak. Sesuatu transaksi jualbeli adalah dikira tidak sah sekiranya tidak memenuhi salah satu rukun jual beli. Muzakarah turut menegaskan bahawa transaksi jual beli dan pelaburan emas juga hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman.
 
Kedua
Berdasarkan laporan dan hasil siasatan Bank Negara Malaysia terhadap operasi jual beli dan pelaburan emas oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd., Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa transaksi jual beli dan pelaburan emas yang dilaksanakan oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd. tidak mematuhi sepenuhnya Parameter Pelaburan Emas sepertimana yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 pada 13 hingga 15 Oktober 2011.
 
Ketiga
Oleh itu, umat Islam dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dalam aktiviti atau transaksi jual beli dan pelaburan emas yang dilaksanakan oleh mana-mana pihak sama ada syarikat atau individu di dalam atau luar negara yang bertentangan dengan prinsip-prinsip jual-beli emas seperti yang digariskan oleh syarak atau undang-undang negara.

Sumber: e-fatwa

Monday, November 5, 2012

Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan


1.      Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.


2.      Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.


3.      Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyaialkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.


4.      Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.


5.      Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh ) dimakan/diminum


6.      Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuktujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.


7.       Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dandiharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.      

      Sumber : Jakim Online