Tuesday, June 10, 2014

Catuan air berulang di Lembah Klang


Kuala Lumpur: Catuan bekalan air di Lembah Klang dijangka berulang jika paras air di Empangan Sungai Selangor merosot ke tahap membimbangkan akibat fenomena El Nino.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, walaupun musim kering dijangka melanda negara mulai bulan ini, namun kesannya hanya dirasai pada Julai. 

“Buat masa ini, paras air di Empangan Sungai Selangor hanya meningkat tujuh peratus kepada 43 peratus berbanding 36 peratus pada dua bulan lalu ketika catuan bekalan air dilakukan. 

“Jika musim kering menyebabkan paras terbabit kembali menurun, maka catuan terpaksa dilakukan kerana 60 peratus bekalan air di Lembah Klang datang daripada empangan terbabit,” katanya selepas melancarkan Persidangan Kebangsaan Teknologi Hijau bersempena Minggu Teknologi Hijau 2014 di sini, semalam.

Sebahagian Selangor dan Lembah Klang mengalami catuan air secara berjadual dan berperingkat selama tiga bulan antara Februari dan April berikutan kekurangan bekalan semasa musim panas baru-baru ini.

Mahdzir berkata, ketika catuan dilakukan, kadar pengeluaran air di Lembah Klang diturunkan kepada 1,700 juta liter sehari. - BERNAMA

2 comments: