KUALA LUMPUR: Selepas 39 tahun beroperasi, kedai makan, Cozy Corner yang menjadi antara mercu tanda terkenal di Ampang Park mengumumkan perpindahan mereka ke Ampang Point.
Walaupun jarak di antara Ampang Park dan Ampang Point hanya 3.8 kilometer, ia bakal tersimpan di lipatan sejarah antara lokasi menjamu selera keluarga yang terkenal di negara ini.
Isu pengambilan tanah pusat beli-belah Ampang Park bagi tujuan pembinaan terowong MRT dan laluan pejalan kaki bawah tanah itu menjadi sebab Cozy Corner mengambil keputusan untuk berpindah dan itu mungkin yang terbaik bagi mereka pada waktu ini.
Pemilik kedai makan Cozy Corner, Lim Joo Tan berkata, tapak yang sudah diduduki lebih 39 tahun itu merupakan peninggalan serta warisan kepada generasi baharu keluarganya.
Mengakui sedih, Joo Tan menyifatkan 'hijrah' mereka adalah demi kelangsungan perniagaan dan berjanji memberi kepuasan hidangan sama untuk pelanggan walaupun di lokasi baharu kelak.
"Sedih, tetapi kita seperti 'bawa' Cozy Corner di Ampang Park di Ampang Point. Semuanya sama sahaja, hanya lokasi berbeza," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Restoran Cozy Corner merupakan antara tarikan utama orang ramai ke Ampang Park selain menjadi salah satu simbol kompleks itu.
Joo Tan yang sudah berusia 41 tahun sebelum ini menegaskan tidak akan berpindah ke lokasi lain yang pasti menghilangkan identiti premisnya selama ini.
"Saya mahu kekal di sini. Saya pasti pelanggan setia di sini juga berpendapat yang sama," ujarnya sebelum ini.
Bagaimanapun, kata Joo Tan, pelanggan tetap Cozy Corner harus sabar menanti dua bulan sebelum premis baru mereka siap diubah suai.
"Bila sudah siap nanti, kita mahu peminat hidangan ke lokasi baru, jangan risau, di mana sahaja, Cozy Corner tetap seperti dahulu, rasanya tetap sama," jelasnya.